Sekolah Menengah Dato’ Mohd Said ditubuhkan atas permintaan semua kaum di Mukim Labu/ Nilai kerana kesukaran menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah di Seremban yang terletak 25 km dari Nilai. Ini menyebabkan kiri-kira 20% sahaja murid-murid yang melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah. Oleh yang demikian, satu mesyuarat telah diadakan pada 7 Oktober 1962 bertempat di Bangunan Kutub Khanah Nilai. Maka dengan usahasama dan kerjasama antara Jawatankuasa Penaja dan J jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Nilai ditubuhkan pada tahun 1964 dengan 3 kelas dan 230 orang pelajar yang ditempatkan sementara di SRJK(Inggeris) Labu Hilir. Pada waktu itu, pelajar- pelajarnya ada yang datang dari Nilai, Batang Benar, Pajam, Mantin, Labu, Gadong Jaya, Sendayan, Salak, LBJ, Salak Tinggi, Kubang dan Sepang.
Pada tahun 1965, bilangan kelas telah bertambah menjadi 8 kelas. Dengan itu, sekolah dan kelasnya terpaksa dipindahkan dan ditumpangkan di SRJK(Cina) Kuo Min, Nilai dan sebahagiannya di SRJK(Tamil), Nilai. Pada akhir tahun 1966 bangunan baru Sekolah Menengah Nilai siap dibina dan beroperasi dengan 3 blok bangunan.(A, B dan D). Pada 26 November 1967, sekolah telah dirasmikan oleh yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Said b. Mohamed, Menteri Besar Negeri Sembilan dan nama sekolah ditukarkan kepada Sekolah Menengah Dato’ Mohd Said. Pada peringkat awal, sekolah hanya mempunyai satu sesi persekolahan. Akibat pertambahan pelajar pada tahun 1968, maka sekolah telah mewujudkan dua sesi persekolahan iaitu sesi pagi dan sesi petang.
Pada awal penubuhan SMDMS pada 1967, sekolah ini hanya mempunyai tiga buah blok bangunan (BLOK A, B & D) sahaja termasuk sebuah bangunan kecil untuk kantin sekolah (surau sekarang). Tapak terdirinya Masjid Kariah Nilai yang ada sekarang adalah merupakan tapak padang sekolah pada asalnya. Tahun demi tahun, dengan bilangan pelajar yang semakin meningkat, maka sebuah bangunan baru (BLOK E) telah siap dibina pada tahun 1975. Pembukaan kelas aliran sains tingkatan empat pada tahun 1980 dan tingkatan 6 Rendah Sastera pada tahun 1986 telah menyebabkan bilangan kelas semakin bertambah. Pada tahun 2003 pihak sekolah telah diberi keizinan untuk membuka kelas Tingkatan 6 Sains.
Bagi menampung bilangan pelajar yang semakin ramai, dua blok bangunan baru (Blok C dan Blok G) telah dibina dan dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Bin Abdul Samad pada Mesyuarat Agung PIBG yang disaksikan oleh para tetamu pada bulan Mac 2002.
Pada sekitar tahun 2000 hingga tahun 2003 juga, kerja-kerja telah dijalankan untuk menaiktaraf dewan sekolah, surau, bangunan pentadbiran sekolah(Blok A), dan padang sekolah. Sebuah bangunan untuk Makmal Komputer dengan 42 buah komputer turut didirikan pada tahun 2003.
Secara keseluruhannya, bermula pada tahun 1964 sehingga kini, perubahan dan perkembangan fizikal yang pesat telah berlaku di SMKDMS ditambah dengan kecemerlangan pelajar serta kerjasama guru-guru menjadikan SMKDMS sebagai sebuah sekolah premier di Kawasan Nilai.